Pok Jak Rodat (Kg Surau Panjang)



















Pok Jok Rodat atau nama sebenarnya Razak Bin Senik adalah anak jati Kampung Surau Panjang dalam lingkungan Daerah Marang. Beliau cukup dikenali ramai dengan nama Pok Jak Rodat atau Pok Jak Wayang Kulit kerana penglibatannya dalam kedua-dua kesenian tersebut tadi. Pok Jak ketika ini giat dan aktif membuat persembahan rodat, wayang kulit serta silat bersama-sama anak-anak buahnya di seluruh negeri Terengganu. Beliau biasa mengadakan persembahan di lain-lain negeri di Semenanjung Malaysia (kecuali Sabah & Sarawak) . Beliau juga pernah pergi ke Singapura dan Taiwan bagi mengadakan persembahan Wayang Kulit Pok Sof anjuran Kerajaan Negeri Terengganu.

Pok Jak mula melibatkan diri dalam kesenian rodat pada usia 15 tahun lagi dengan Allahyarham Pakcik Mi dan tamat selepas tempoh 2 tahun. Sambil itu beliau turut mempelajari 'Silat Tarian Serama' dan telah mula membuat peralatan muzik tradisional. Dalam bidang kesenian wayang kulit pula, beliau telah diajak turut serta dalam Wayang Kulit Pok Sof oleh Allahyarham Pok Sof sendiri yang begitu terkenal ketika itu dengan kumpulan wayang kulitnya. Kini, beliau pula giat mengadakan kelas rodat di sebuah bangsal berdekatan rumahnya di Kampung Surau Panjang. Beliau mempunyai seramai lebih kurang 10 orang (pada satu-satu masa) yang mengikuti kelasnya atas usaha sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana pihak.



















Kesenian hasil kerja tangannya pada pembuatan perkakasan serta peralatan muzik seperti gendang rebana serta watak-watak wayang kulit begitu ketara sehingga beliau telah dianugerahkan ‘Anugerah Seni Negeri Terengganu 2005 - Kategori Karyawan Seni (Seni Muzik)’ oleh Kerajaan Negeri Terengganu yang mana anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu ketika itu iaitu Y.A.B. Dato’ Seri Idris Jusoh di Dewan Besar Wisma Darul Iman dalam satu majlis keramaian Kerajaan Negeri Terengganu.

Hasil kerja tangannya ini begitu mendapat tempat dikalangan pengiat seni muzik tempatan yang mana beliau selalu mendapat tempahan daripada dalam dan luar Negeri Terengganu seperti dari Kelantan, Pahang, Melaka dan lain-lain lagi. Sesiapa yang ingin menghubungi Pok Jak bagi tujuan ini atau menjemputnya untuk mengadakan persembahan rodat, wayang kulit atau pun silat, boleh berbuat demikian dengan menghubunginya terus di talian 014 – 801 9661.

Allahyarham Wan Ismail Tembaga (Ladang)

Haji Wan Abdullah (Pulau Duyung)